education 

Published on
SPM Sejarah-Tingkatan 4 Bab 2- Kebangkitan Nasionalisme - Nasionalisme di Filipina

Untuk Melihat Kandungan Sejarah SPM Tingkatan 4 dan 5 yang lain klik di sini 

Nasionalisme di Filipina berkembang dengan tujuan utama untuk menghapuskan penjajahan asing. Kesedaran nasionalisme ini dipelopori oleh tokoh-tokoh nasionalis tempatan yang berjuang membebaskan negara mereka daripada kuasa penjajah.


Antara tokoh nasionalis penting di Filipina ialah José Rizal, Andrés Bonifacio dan Emilio Aguinaldo.

Gerakan Propaganda

Pada peringkat awal, nasionalisme di Filipina berbentuk Gerakan Propaganda yang dipimpin oleh José Rizal. Gerakan ini menuntut agar Filipina dijadikan sebahagian daripada wilayah Sepanyol dan diberikan hak yang sama seperti rakyat Sepanyol dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.


Sebagai usaha memperjuangkan tuntutan tersebut, José Rizal telah menubuhkan Liga Filipina pada tahun 1892. Penubuhan pertubuhan ini bertujuan mendesak kerajaan Sepanyol melaksanakan pembaharuan politik, ekonomi dan sosial di Filipina.

Gerakan Revolusi Katipunan

Kegagalan Gerakan Propaganda mencapai matlamatnya telah mencetuskan kebangkitan nasionalisme yang lebih radikal. Hal ini mendorong Andrés Bonifacio menubuhkan Katipunan bagi memperjuangkan kemerdekaan Filipina melalui jalan revolusi.


Katipunan merupakan sebuah gerakan revolusioner yang menggunakan akhbar Kalayan sebagai medium untuk menyebarkan idea revolusi dan membangkitkan kesedaran rakyat Filipina.


Bonifacio dan Emilio Aguinaldo telah memimpin Katipunan melancarkan Revolusi Filipina pada tahun 1896 dengan tujuan menyingkirkan pemerintahan Sepanyol. Walau bagaimanapun, gerakan ini tidak berjaya mencapai kemerdekaan sepenuhnya.


Campur Tangan Amerika Syarikat dan Perjuangan Baharu

Selepas kegagalan revolusi, Emilio Aguinaldo telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan berjaya mengusir Sepanyol dari Filipina. Namun, Perisytiharan Kemerdekaan Filipina yang diumumkan oleh Aguinaldo pada tahun 1899 tidak diiktiraf oleh Amerika Syarikat.


Sebaliknya, Filipina diletakkan di bawah penguasaan Amerika Syarikat. Dalam keadaan ini, golongan nasionalis Filipina mengubah strategi perjuangan dengan menggunakan pendekatan diplomasi melalui penubuhan parti politik yang bersifat sederhana.


Pendekatan kerjasama ini membolehkan Sergio Osmeña, pemimpin Parti Nasionalis, dilantik sebagai anggota Dewan Perhimpunan Filipina pada tahun 1907.


Gerakan menuntut kemerdekaan Filipina terus diperjuangkan oleh golongan nasionalis sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua, yang akhirnya membuka laluan kepada kemerdekaan negara tersebut.

Untuk Melihat Kandungan Sejarah SPM Tingkatan 4 dan 5 yang lain klik di sini 

Picture
0 Comments