- Published on
Revolusi Amerika (1776)
Untuk Melihat Kandungan Sejarah SPM Tingkatan 4 dan 5 yang lain klik di sini
Revolusi Amerika tercetus sebagai tindak balas penduduk Amerika terhadap penjajahan British. Orang Amerika bangkit menentang kuasa British kerana pihak penjajah gagal melindungi hak serta kepentingan rakyat Amerika walaupun mereka merupakan sebahagian daripada empayar British.
Pada ketika itu, terdapat 13 buah tanah jajahan British di Amerika. Penduduk di tanah jajahan ini menentang pelbagai akta yang diperkenalkan oleh British untuk memungut cukai, antaranya Akta Pelayaran, Akta Gula, Akta Setem dan Akta Teh. Akta-akta ini dianggap membebankan dan menindas rakyat Amerika.
Penentangan semakin memuncak apabila penduduk Amerika melaungkan slogan “tiada cukai tanpa perwakilan”. Slogan ini mencerminkan bantahan rakyat Amerika terhadap tindakan British mengenakan cukai sedangkan mereka tidak mempunyai wakil dalam Parlimen British untuk menyuarakan kepentingan mereka.
Perjuangan dan Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika
Bagi menyelaraskan perjuangan menentang British, pemimpin-pemimpin di tanah jajahan telah menubuhkan sebuah kongres yang dipimpin oleh George Washington. Kongres ini seterusnya mengisytiharkan perang terhadap British sebagai langkah memperjuangkan kemerdekaan Amerika.
Pada bulan Julai 1776, kongres telah meluluskan Perisytiharan Kemerdekaan Amerika yang ditulis oleh Thomas Jefferson. Perisytiharan ini menegaskan bahawa sekiranya sesebuah kerajaan gagal menjamin hak kehidupan, kebebasan dan kebahagiaan rakyat, maka rakyat berhak menubuhkan sebuah kerajaan baharu.
Kejayaan Revolusi dan Pembentukan Amerika Syarikat
Revolusi Amerika berakhir pada tahun 1783 apabila British mengiktiraf kemerdekaan Amerika. Pengiktirafan ini menandakan kejayaan perjuangan rakyat Amerika dalam membebaskan diri daripada penjajahan.
Selepas mencapai kemerdekaan, 13 buah bekas tanah jajahan British tersebut telah disatukan dan dinamakan sebagai Amerika Syarikat. Negara baharu ini memperkenalkan sistem pemerintahan demokrasi sebagai asas pentadbiran negara.
Info Sejarah: Jamuan Teh Boston
“Jamuan Teh Boston” merujuk kepada peristiwa penentangan penduduk Amerika terhadap Akta Teh dan monopoli British dalam perdagangan teh di Amerika. Dalam peristiwa ini, orang Amerika membuang kotak-kotak berisi teh ke laut dari kapal British yang berlabuh di Pelabuhan Boston pada tahun 1773.
Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan pihak British dan membawa kepada tindak balas yang lebih keras. Reaksi British terhadap peristiwa ini akhirnya mencetuskan Perang Kemerdekaan Amerika.
Untuk Melihat Kandungan Sejarah SPM Tingkatan 4 dan 5 yang lain klik di sini
0 Comments