education 

Published on
SPM Sejarah – Tingkatan 4 Bab 4 – Era Peralihan Kuasa British di Negara Kita – Gagasan Malayan Union

Untuk Melihat Kandungan Sejarah SPM Tingkatan 4 dan 5 yang lain klik di sini 

Gagasan Malayan Union

Latar Belakang

Gagasan Malayan Union diperkenalkan oleh British bagi menggantikan pentadbiran British Military Administration (BMA) di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. British berhasrat untuk melicinkan sistem pentadbiran, meningkatkan pelaburan ekonomi, mengukuhkan pertahanan serta mengekalkan orang asing sebagai sumber tenaga kerja demi memulihkan ekonomi Tanah Melayu.

Bagi merangka sistem pentadbiran baharu ini, Unit Perancang Tanah Melayu yang diketuai oleh Mejar Jeneral Ralph Hone telah ditugaskan membentuk struktur Malayan Union. Rancangan tersebut kemudiannya dibentangkan oleh George Henry Hall, Setiausaha Tanah Jajahan British, di Parlimen British pada 10 Oktober 1945.

Pada 22 Januari 1946, rancangan Malayan Union disiarkan dalam Warta Kerajaan dan dikenali sebagai Kertas Putih 6274. Melalui dokumen ini, British mengumumkan bahawa mereka akan mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu dan menubuhkan sebuah pentadbiran berpusat (kesatuan) di bawah jajahan British.

Kronologi Pelaksanaan Malayan Union

Pelaksanaan Malayan Union melalui beberapa peringkat penting:
1. Unit Perancang Tanah Melayu dibentuk di London pada Februari 1943 bagi merangka dasar pentadbiran baharu.
2. Rancangan Malayan Union dibentangkan di Parlimen British.
3. Pada 25 April 1945, Persatuan Pelajar Melayu Britain menghantar memorandum membantah cadangan kewarganegaraan berasaskan prinsip jus soli.
4. Tan Cheng Lock bersama Persatuan Cina Seberang Laut turut menghantar memorandum berkaitan masa depan Tanah Melayu.
5. Kertas Putih 6274 membentangkan 13 perkara kandungan Malayan Union yang diluluskan oleh Parlimen British.
6. Rancangan tersebut disiarkan dalam Warta Kerajaan.
7. Malayan Union akhirnya dilaksanakan secara rasmi pada 1 April 1946.


Kandungan Kertas Putih 6274

Antara kandungan utama Kertas Putih 6274 ialah:
Konsep kesatuan yang menyatukan semua negeri di Tanah Melayu di bawah satu pentadbiran pusat.
Bentuk pentadbiran baharu yang diketuai oleh Gabenor British.
Sistem perundangan di bawah kuasa British.
Kedudukan Raja-raja Melayu yang dikurangkan kuasa politiknya.
Syarat kewarganegaraan yang lebih longgar berasaskan prinsip jus soli.
Kedudukan agama Islam sebagai agama negeri di bawah tanggungjawab Raja-raja Melayu.


Ciri-ciri Perlembagaan Malayan Union

Pentadbiran

Malayan Union memperkenalkan konsep kesatuan, iaitu semua negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat (kecuali Singapura) disatukan menjadi satu unit pentadbiran.

Ketua pentadbir ialah Gabenor British yang dilantik oleh Raja England. Di bawahnya ditubuhkan Majlis Eksekutif dan Majlis Undangan bagi membantu pentadbiran.

Raja-raja Melayu pula menjadi ahli Majlis Raja-Raja dan hanya membincangkan hal ehwal agama Islam serta adat istiadat Melayu.

Kewarganegaraan

Prinsip jus soli diperkenalkan sebagai asas kewarganegaraan. Semua rakyat yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura diiktiraf sebagai warganegara Malayan Union.

Mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin antara 10 hingga 15 tahun layak memohon kewarganegaraan. Kanak-kanak di bawah 18 tahun turut diberikan kewarganegaraan sekiranya ibu bapanya merupakan warganegara.

British Mendapatkan Tandatangan Sultan

H.C. Willan Merintis Jalan Menghadap Raja-raja Melayu

Sebelum Sir Harold MacMichael dihantar untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu bagi melaksanakan Malayan Union, British terlebih dahulu menugaskan H.C. Willan untuk meninjau sokongan awal daripada pemerintah negeri-negeri Melayu.

H.C. Willan merupakan Timbalan Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Malaya. Beliau ditugaskan untuk bertemu Raja-raja Melayu bagi menilai pendirian mereka terhadap cadangan Malayan Union. Tugas ini dilaksanakan dalam tempoh 8 September hingga 29 September 1945.

Sultan pertama yang ditemui oleh Willan ialah Sultan Johor. Selepas itu, beliau menghadap Sultan Hisamuddin Alam Shah, Sultan Selangor. Lawatan tersebut diteruskan ke negeri-negeri lain bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang sokongan raja-raja Melayu terhadap rancangan British.

Semasa berada di Perlis, Willan telah menemui Syed Hussin, Setiausaha Kerajaan Perlis, sebelum menghadap Raja Perlis di Kangar. Di Terengganu pula, sebelum bertemu Sultan Ali, beliau terlebih dahulu berbincang dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Jaya Perkasa Che Da Omar Mahmud.

Berdasarkan laporan yang dikemukakan, Willan menyatakan keyakinan bahawa Raja-raja Melayu akan menyokong serta menandatangani perjanjian Malayan Union. Penilaian positif ini memberi kelebihan kepada British dan memudahkan tugas MacMichael untuk mendapatkan tandatangan rasmi Raja-raja Melayu selepas itu.

Misi Sir Harold MacMichael Mendapatkan Tandatangan Raja-raja Melayu

Sir Harold MacMichael tiba di Port Swettenham, Selangor pada 11 Oktober 1945 untuk melaksanakan misi mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu bagi Perjanjian Malayan Union. Beliau ditemani oleh A.T. Newboult sebagai jurubahasa.

Sebelum itu, H.C. Willan telah meninjau sokongan awal Raja-raja Melayu. Namun, cara Willan mendapatkan sokongan tidak memenuhi jangkaan MacMichael kerana kebanyakan Raja-raja Melayu masih menunjukkan penentangan. Oleh itu, MacMichael sendiri melakukan kunjungan ke setiap negeri Melayu dan menggunakan pelbagai tekanan serta taktik bagi memastikan perjanjian ditandatangani. Dalam tempoh kira-kira dua bulan, beliau berjaya memperoleh tandatangan sembilan orang Raja Melayu.

Kronologi Penting (Oktober–Disember 1945)
18 Oktober 1945 – MacMichael menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
20 Oktober 1945 – Sultan Johor menandatangani Perjanjian Malayan Union.
24 Oktober 1945 – MacMichael menghadap Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah; baginda menandatangani perjanjian.
31 Oktober 1945 – MacMichael menghadap Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
2 November 1945 – Sultan Pahang menandatangani perjanjian.
14 November 1945 – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad menandatangani perjanjian selepas pada mulanya enggan dan didesak.
22 November 1945 – Sultan Perak, Sultan Abdul Aziz Almutasim Billah Shah menandatangani perjanjian selepas cuba melengah-lengahkan masa tetapi akhirnya terpaksa.
29 November 1945 – MacMichael menghadap Sultan Kedah, Sultan Badlishah; berlaku perdebatan dan baginda bertegas enggan menandatangani.
2 Disember 1945 – Sultan Kedah akhirnya menurunkan tandatangan.
4 Disember 1945 – Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Jamalullail menandatangani perjanjian selepas didesak.
15 Disember 1945 – MacMichael menghadap Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim; beliau mengugut untuk tidak mengiktiraf Raja-raja Melayu yang enggan menandatangani.
17 Disember 1945 – Sultan Kelantan terpaksa menandatangani perjanjian.
21 Disember 1945 – MacMichael menghadap Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Baginda pada awalnya enggan kerana perjanjian bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu, namun akhirnya menandatangani.

Kesimpulan

Tindakan MacMichael yang menggunakan tekanan dan ugutan dalam mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu. Cara perolehan persetujuan tersebut dianggap tidak adil dan menjadi antara faktor utama tercetusnya penentangan besar-bbesaran terhadap Malayan Union di seluruh Tanah Melayu.

Untuk Melihat Kandungan Sejarah SPM Tingkatan 4 dan 5 yang lain klik di sini 

Picture
Picture
Picture
0 Comments