education 

Published on

SPM Sejarah - Tingkatan 5 Bab 5 - Pembentukan Malaysia - Perjanjian Julai 1963 dan Peristiwa Pengisytiharan Malaysia


Untuk Keseluruhan topik tingkatan 4 dan 5 SPM Sejarah Klik di sini


Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Perjanjian Malaysia atau Malaysian Agreement (MA63) telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London. Perjanjian ini melibatkan kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura. Kandungan perjanjian tersebut adalah seperti yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK). Prinsip utama perjanjian ini ialah mengiktiraf hak yang sama kepada semua negeri dalam Malaysia.


Inti Pati Perjanjian Malaysia

Berdasarkan Perjanjian Malaysia, tarikh pembentukan Malaysia pada asalnya ditetapkan pada 31 Ogos 1963. Melalui perjanjian ini, Sarawak, Sabah dan Singapura akan menjadi ahli dalam Persekutuan Malaysia bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu. Kerajaan British pula akan mengiktiraf kedaulatan Sarawak, Sabah dan Singapura dalam Malaysia.


Perjanjian ini turut memberikan beberapa kelebihan kepada Sarawak dan Sabah, termasuk hak untuk menubuhkan kabinet negeri. Kedua-dua negeri tersebut juga diberikan tempoh masa peralihan dalam beberapa bidang seperti pentadbiran awam dan pendidikan bagi menyesuaikan pentadbiran mereka dengan sistem baharu.


Dari segi perwakilan di Parlimen, Singapura diperuntukkan 15 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Sabah 16 kerusi. Selain itu, penduduk bumiputera Sarawak dan Sabah diberikan pengiktirafan yang sama seperti orang Melayu dalam Perlembagaan.


Image description

Peristiwa Pengisytiharan Malaysia


Untuk Keseluruhan topik tingkatan 4 dan 5 SPM Sejarah Klik di sini

Malaysia akhirnya secara rasmi diisytiharkan pada 16 September 1963. Istiadat pengisytiharan tersebut berlangsung secara serentak di Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah.


Kuala Lumpur

Di Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong membacakan Pengisytiharan Malaysia di Stadium Merdeka. Upacara bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.


Sarawak

Di Sarawak, Datu Abang Haji Openg Abang Sapiee mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Pengisytiharan Malaysia pula dibacakan oleh Khir Johari, iaitu wakil Kerajaan Persekutuan, di Kuching, Sarawak. Upacara tersebut turut dihadiri oleh anggota kabinet negeri.


Sabah

Di Sabah, Datu Mustapha Datu Harun mengumumkan Pengisytiharan Malaysia dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang pertama. Dalam upacara tersebut, Tun Abdul Razak Hussein hadir sebagai wakil Kerajaan Persekutuan.

 


Image description

Bahasa Melayu di Sabah


Untuk Keseluruhan topik tingkatan 4 dan 5 SPM Sejarah Klik di sini

Sabah bersetuju untuk mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai balasan, Sabah dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris dalam tempoh 10 tahun selepas tahun 1963.


Pada tahun 1970, Datu Mustapha Datu Harun menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Seterusnya, pada tahun 1971, Dewan Undangan Sabah meluluskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa dalam urusan rasmi negeri Sabah.

Image description

Hari Sarawak

Untuk Keseluruhan topik tingkatan 4 dan 5 SPM Sejarah Klik di sini


Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 22 Julai 1963. Tarikh 22 Julai kemudiannya diisytiharkan sebagai Hari Sarawak dan menjadi cuti umum negeri Sarawak.

Image description

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)


Untuk Keseluruhan topik tingkatan 4 dan 5 SPM Sejarah Klik di sini

Indonesia telah membuat bantahan rasmi terhadap pembentukan Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Susulan bantahan tersebut, pada 12 Ogos 1963, U Thant, Setiausaha Agung PBB, menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai United Nations Malaysia Mission (UNMM) untuk membuat penilaian dan menyediakan laporan mengenai pembentukan Malaysia.


Penubuhan UNMM menyebabkan pengisytiharan Malaysia yang pada asalnya dirancang pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditangguhkan. Laurence Michelmore, Duta Amerika Syarikat di PBB, mengetuai rombongan yang menjalankan tinjauan di Sarawak dan Sabah. Pada 14 September 1963, laporan yang menunjukkan bahawa penduduk Sarawak dan Sabah menerima pembentukan Malaysia telah diterbitkan.

Image description

Pembentukan Malaysia dilaksanakan secara teratur dengan melibatkan semua pihak. Penduduk turut diberikan peluang untuk menyuarakan pandangan bagi memastikan kepentingan bersama terpelihara. Oleh itu, kita perlu sentiasa menjaga kesepakatan kerana perkara tersebut penting untuk memelihara kestabilan negara.

0 Comments